Jadi, fahamkan lah kata imam di atas. Saya percaya ramai dari kawan-kawan saya yang tidak berani untuk menyampaikan dakwah kerana beberapa sebab. Dan saya amat percaya juga, terlalu ramai yang susah untuk menerima dakwah. Itu yang perlu diterima kerana bagi saya itulah hakikat hidup ini. Jika kita tidak terima tentu sekali rasa untuk berdakwah kian pudar. Pendekatan yang berbeza juga patut digunakan untuk menyampaikan sedikit dakwah kepada segelintir manusia yang susah untuk menerima dakwah.
Dalam ayat diatas bermaksud walaupun tahu cuma sedikit, berdakwah lah. Jika hendak tunggu terlalu banyak ilmu baru nak berdakwah, tentu nya golongan yang menyampaikan dakwah itu terlalu sedikit.
Dibawah ini ada sedikit petikan tentang hukum dakwah yang saya rujuk di galeripakwan.blogspot.com
Hukum dakwah.
Ada dua pendapat dalam menentukan hukum dakwah, ada yang mengatakan ianya Fardhu Ain, dan ada pula yang mengatakan ia Fardhu Kifayah. Setelah diteliti segala hujah yang dikemukakan, dapatlah difahami bahawa dakwah itu satu tuntutan yang terlalu besar. Ia mempunyai hubung kait yang rapat dengan matlamat diciptakan manusia. Kalaulah matlamat dijadikan manusia adalah untuk beribadat atau perhambaan diri kepada Allah, maka dakwah merupakan saluran untuk memperjelaskan matlamat tersebut kepada sasaran. Atas alasan inilah dakwah Islamiah merupakan pokok dalam kehidupan orang Islam. Dengan itu, hukum dakwah bukan setakat fardu ain atau fardu kifayah, malah lebih daripada itu.
Al-Sayyid Nawfal menjelaskan bahawa baginya tidak ada halangan unuk dikatakan bahawa hukum dakwah itu kedua-duanya sekali, iaitu fardu ain dan fardu kifayah. Dakwah itu fardu ain, kerana setiap orang Islam diwajibkan menjelas serta mengemukakan kepada orang yang masih jahil tentang pengajaran asas di dalam Islam yang menjadi fardu ain kepada setiap orang, kerana orang yang jahil tentangnya terdapat dimana-mana. Di samping itu, ia juga menjadi fardu kifayah , kerana keperluan menyediakan golongan tertentu di kalangan orang Islam untuk lebih dipertanggungjawabkan ke atas mereka dalam urusan dakwah.
Muhammad Abu Zahrah mengemukakan pendapat yang sama. Beliau membuat kesimpulan bahawa apabila melihat kepada usaha dan tenaga yang telah dicurahkan oleh para sahabat dan tabi’in yang masing-masing mengambil bahagian dengan sepenuhnya terhadap usaha dakwah, maka dapatlah difahami bahawa dakwah itu hukumnya fardu ain. Di samping itu, ianya menjadi fardu kifayah ke atas jamaah islamiah. Dengan itu, hukum dakwah bagi setiap insan ialah kedua-duanya sekali.
Muhammad ‘Abduh membahagikan dakwah kepada dua bahagian, iaitu dakwah kepada seluruh manusia dan dakwah kepada orang Islam. Dakwah bahagian kedua ini terbahagi pula kepada bentuk umum dan bentuk khusus. Dakwah bentuk khusus ialah dengan cara nasihat-menasihati antar satu sama lain, sama-sama menolong untuk kebaikan dan sama-sama menegah kemungkaran. Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab bersama, tanpa mengira si alim atau si jahil.
Manakala ‘Abd al-Karim zaydan pula menjelaskan bahawa kewajipan dakwah ke atas seseorang itu ada dua peringkat. Pertama, peringkat perseorangan yang mesti dilakukan oleh setiap orang Islam, berdasarkan dia itu orang Islam. Kedua, peringkat berjamaah, berdasarkan dia itu menjadi anggota kepada jamaah.
Berdasarkan keterangan-keterangan yang telah dijelaskan, dapatlah disimpulkan bahawa tanggungjawab dakwah adalah terlalu besar. Ia bukan setakat fardu ain ke atas setiap orang Islam, malahan juga fardu kifayah ke atas seluruh umat Islam, bergantung terhadap kemampuan masing-masing. Dakwah bukan setakat ceramah agama, tetapi usaha-usaha yang disusun dengan baik untuk mengubah fikiran, sikap dan tabiat manusia supaya selaras dengan kehendak Allah dan rasul-Nya.