Pages

Monday, August 15, 2011

Golongan Orang Yang Bersolat

“Mengapa ibadah solat tidak dapat menahan dari kemungkaran dan tidak membangunkan insan?”





Golongan 1
Ramai umat Islam hari ni yang tak solat,bahkan tidak tahu solat, mereka telah jatuh kafir (nauzubillah…). Imam Malik kata jatuh kafir kalau tak solat tanpa sebab. Imam Syafie pula kata jatuh fasik kalau ia masih yakin solat itu fardhu.

Golongan 2
Orang yang mengerjakan solat secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang sahaja. Tidak mempelajari cara-cara untuk solat secara rasmi atau tidak. Ilmu tentang solat tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaan derhaka kepada Allah.

Golongan 3
Orang yang mengerjakan solat, bahkan tahu ilmu mengenai solat, tetapi tidak boleh melawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap solat, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik, ia solat. Kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, maka ia tidak solat. Orang ini jatuh fasik.

Golongan 4
Orang yang solat, walaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tidak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya banyak yang dia tidak faham, fikirannya tidak berpusat atau tidak tertumpu sepenuhnya pada solat yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dibaca. Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam solat, orang ini lalai dalam solat. Neraka wail bagi golongan ini.

Golongan 5
Golongan yang mengerjakan solat cukup 5 waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan solat, Fatihahnya, doa iftitah tetapi tidak dihayati dalam solat itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia dek kerana faham sahaja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai solat awamul muslimin.

Golongan 6
Golongan ini baik sedikit dari golongan yang kelima tetapi main tarik tali dalam solatnya. Sekali sekala khusyuk, sekali sekala tidak pula. Bila teringat sesuatu di dalam solatnya, teruslah terbawa-bawa, berkhayal dan seterusnya. Apabila teringatkan Allah secara tiba-tiba, maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan dalam solat. Begitulah sehingga selesai solatnya. Ia merintih dan tidak mahu jadi begitu, tetapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (menyesal akan kelalaiannya dan cuba perbaikinya semula, tetapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah. Yang sedar dan khusyuk itu mudah-mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga-moga diampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai solat itu. Ertinya solat itu tiada memberi kesan apa-apa.

Golongan 7
Golongan yang mengerjakan solat tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz di dalam solatnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekeliling sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar solat itu tidak mempengaruhi solatnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajipan dan tugas keduniaan seperti perniagaan  dan sebagainya namun tidak mempengaruhi solatnya. Hatinya masih dapat memuja Allah di dalam solatnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh (golongan abrar atau ashabul yamin)

Golongan 8
Golongan ini juga seperti golongan 7 tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan sahaja faham, dan tak mengingati dunia di dalam solatnya,malahan dia dapat menghayati setiap makna bacaan solatnya. Setiap bacaan dan gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tidak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit. Namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Ibadahnya terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam solatnya. Golongan ini dinamakan golongan muqarrabin (yang hampir dengan Allah swt)

Golongan 9
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan. Iaitu bukan sahaja ibadah solat itu dijiwai di dalam solatnya malahan ia dapat mempengaruhi di luar solat. Kalau ia bermasalah langsung ia solat, kerana ia yakin solat merupakan penyelesaian segala masalah. Ia telah fana dengan solat. Solat telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan di dalam sejarah, seperti solat Saidina Ali r.a ketika panah terpacak di betisnya. Untuk mencabutnya, ia solat dahulu, maka di dalam solat itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan solat. Makin banyak solat, makin lazat. Solat dengan cara ini untuk melepaskan kerinduan dengan Tuhannya. Dalam solatlah cara ia mengadu dengan Tuhannya. Alam sekeliling langsung tidak dihiraukan. Apa yang berlaku di sekelilingnya langsung tidak dihiraukan. Hatinya hanya pada Allah. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin iaitu golongan yang benar dan hak.


Setelah dinilai keseluruhan peringkat solat ini, maka dapatlah kita nilai solat kita ditahap yang mana. Maka ibadah solat yang boleh membangunkan jiwa, memantapkan iman, menjauhkan diri dari yang buruk, menanam mahmudah melahirkan disiplin hidup dan akhlak yang agung ialah golongan 7,8 dan 9 sahaja. Solatnya ada kualiti manakala golongan yang lain jatuh pada kufur fasik dan zalim.

Jadi, di manakah tahap solat kita? Jom sama-sama perbaiki diri kita mulai sekarang. Pertama sekali yang akan disoal di akhirat nanti ialah solat. Marilah sama-sama perbaiki solat kita agar segera mendapat bantuan dari Allah s.w.t, insyaAllah.

wallahualam.

Sumber dari rakan Facebook. Fatinah Zaifuddin